Selasa, 01 April 2008


SELALU dikatakan bahawa pencipta ubat bedil adalah orang China yang menemui kalium nitrat dan penggunaannya dalam mercun bunga api. Namun, hasil kajian Reinaud dan Fave menunjukkan secara jelas umat Islam adalah pembuat ubat bedil pertama di dunia.

Ini terbukti ketika umat Islam menggunakan bahan senjata api buat pertama kali ketika mempertahankan Algericas (sebuah kota di selatan Sepanyol) bertentangan Gibraltar, apabila diserang Alphonse ke-11 pada 1342 Masihi.
Jelas, bahawa ubat bedil diperkenalkan oleh umat Islam di Eropah pada abad ke-14.
Pada muka 1165 The New Columbus Encyclopedia (1975), Roger Bacon selalu dikaitkan dengan penemuan ubat bedil, tetapi segala fakta menunjukkan dia sebenarnya mengetahui dari sumber orang Islam ketika empayar Islam berkuasa di Sepanyol.
Ternyata, ilmu kimia dipelopori umat Islam dan merekalah yang pertama menggunakan kaedah pemejalwapan, penghabluran, pengentalan dan pengkupelan.
Oleh itu, dunia terpaksa memberi pengakuan terhadap sumbangan umat Islam kepada sains dalam ilmu kimia.
Islam sebenarnya masyhur dan berjaya melahirkan ramai ahli kimia. Di antaranya Muhammad Abu Bakar Al-Razi atau nama ringkasnya, Al-Razi, berasal dari Parsi yang dianggap sebagai pengasas kimia moden.
Al-Razi mereka cipta radas dan mencatatkan dengan terperinci lebih 20 alat besi dan kaca. Beliau begitu mahir dengan elemen kimia seperti air perak, tembaga sulfat, gas ammonia, nitrat perak, besi sulfat dan raksa oksid.
Al-Maghriti yang juga seorang ahli sains Islam pada abad 10 Masihi menulis mengenai ilmu kimia yang diterjemahkan dalam bahasa Latin dan sekarang dianggap sumber penting dalam sejarah ilmu kimia.
Al-Quran menggesa umat Islam untuk membuat cerapan dan kajian serta menggalakkan sifat sabar menghadapi sebarang percubaan dan dugaan. Inilah satu ciri ahli sains yang penting terutama dalam menjalani pengujian atau membuat perhatian dan cerapan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersertakan orang yang sabar.” – (Surah al-Baqarah, ayat 53).

Tidak ada komentar: